Kelebihan dan Hukum Solat Istikharah

by KertasPaper · 0 comments

SOLAT ISTIKHARAH : KELEBIHAN DAN HUKUMNYA

Islam adalah sebuah agama yang diredhai oleh Allah taala sebagaimana Firman-Nya :
“..hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu semua agama kamu dan Aku telah cukupkan kamu semua dengan nikmat-nikmat Ku, dan Aku meredhai bagi kamu semua Islam itu sebagai agama..” (al-Maidah : 3)
Itulah Islam, sebuah agama yang cukup sempurna. Padanya perundangan yang menyeluruh, syariat rabbani, manhaj yang waqi’e, perjalanan yang wasati, percaturan keseimbangan anatara dunia dan akhirat. Islam padanya mencakupi segenap hal dan perkara kerana ianya dari yang Maha Esa.
Dalam kepelbagaian pembelajaran yang dapat diambil daripada Islam melalui Risalah Nubuwwah Rasulullah s.a.w. antaranya adalah ISTIKHARAH.

MAKSUD ISTIKHARAH

Istikharah bermaksud : memohon dan meminta yang terbaik.
Pengenalan istikharah diajar oleh Rasulullah adalah sebagai meminta petunjuk daripada Allah taala dengan pilihan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang ingin kita lakukan. Sesungguhnya Allah taala adalah tempat kita mengadu dan memohon. Ianya adalah sebagai satu jalan terbaik untuk menentukan pilihan dan ikhtiar makhluk agar sentiasa dipandu dengan petunjuk dan hidayah Allah taala.

Firman Allah taala : “dan Tuhanmu menciptakan dan memilih apa yang Dia kehendaki, bagi manusia tidak ada pilihan (kecuali ianya adalah daripada pilihan dan ketentuan Allah)..” (al-Qasas : 68)
Imam ibn Hajar ada menyebutkan dalam kitabnya Fathul Bari bahawa Al-Imam Hafiz Abdul Rauf al-Munawi berkata : “Istkharah adalah meminta yang terbaik daripada Allah taala pada sesuatu perkara yang ingin dilakukan, hakikatnya adalah kita menyerahkan ikhtiar dan usaha kita hanya kepada Allah taala, ini adalah kerana hanya Dialah sahaja yang mengetahui yang terbaik kepada setiap hamba-nya, dan Dialah penentu keatas apa sahaja yang terbaik sebagai pilihan kepada hamba-Nya”.

Begitulah perihal seorang muslim disisi Tuhan-Nya, sentiasa menyerahkan setiap ceruk hidupnya hanya kepada Allah sebagai penentu setiap keputusan.

Daripada Sa’ad bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : “Daripada kebahagiaan seseorang anak Adam adalah mereka yan sentiasa beristikharah kepada Allah taala, daripada kebahagiaan anak Adam juga adalah mereka yang sentiasa redha dengan setiap ketentuan Allah baginya. Adapun daripada kecelakaan anak Adam adalah meninggalkan beristikharah kepada Allah taala, dan daripada kecelakaan anak Adam juga adalah tidak berpuas hati dengan setiap ketentuan Allah baginya”. (Riwayat Imam Tarmizi)

ANCAMAN BERPEGANG SELAIN DARIPADA ALLAH

Ini bertentangan sekali dengan sifat-sifat yang dimiliki oleh orang-orang kafir dan munafiq serta mereka-mereka yang lemah imannya. Secara adatnya mereka akan menjalani kehidupan mereka tanpa memandang kepada kuasa dan ketentuan Allah taala. Bahkan mereka penuh yakin bahwa setiap ketentuan dan keadaan adalah daripada tindakan makhluk itu sendiri samada daripada usaha ikhtiar mereka, bomoh, tilik nasib, ilmu teri, ilmu nujum, dan lain-lain daripada perkara khurafat dan tahyul. Sungguh telah kufurlah mereka yang berpegang dengan perkara-perkara itu semua.

Sebagaimana daripada Abu Hurairah, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : “Sesiapa yang mendatangi ahli nujum dan bomoh lalu mempercayainya setiap apa yang diperkatakannya, maka sesungguhnya telah kufurlah dia dengan apa yang telah diturunkan oleh Muhammad s.a.w.” (Riwayat Imam Ahmad)

Semua perkara-perkara tersebut adalah bertitik tolak daripada pengamalan yang dilakukan oleh golongan-golongan jahiliah dahulu yang tidak menjadikan agama sebagai panduan dalam kehidupan mereka. Islam melaran dengan keras penggunaan perkara-perkara tersebut. Ini adalah kerana setiap ketentuan dan perkara yang ghaib itu hanyalah Allah taala sahaja yang mengetahuinya.
Firman-Nya : “Katakanlah (wahai Muhammad) : tidak ada sesuatu pun dilangit dan dibumi yang mengetahui perkara-perkara ghaib kecuali Allah, dan mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan” (al-Naml : 65)

APAKAH SEMUA PERKARA PERLU ISTIKHARAH ?

عَـنْ جَابـِـر ِ بـْـن ِ عَبْدِ اللهِ رَضِـيَ اللهُ عَـنـْهُمَا قـَالَ : كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلـَّى اللهُ عَـلـَــيْهِ وَسَلـَّمَ يُعـَـلـِّمُـنـَا الإسْـتِـخَـارَة َ فِي الأ ُمُور ِ كَـمَا يُعـَـلـِّـمُـنـَا السُّـورَة َ مِنَ الـْـقـُـرْآن ِ، يَقـُـولُ: إذ َا هَـمَّ أحَدُكُمْ بـِـالأمْر ِ فـَـلـْـيَرْكَعْ رَكْعَتـَـيْن ِ مِنْ غـَـيْر ِ الـْـفـَـر ِيضَةِ

Daripada Jabir bin Abdullah r.a. berkata : “Adapun Rasulullah s.a.w. mengajarkan kami Istikharah dalam melakukan sesuatu perkara sebagaimana baginda mengajarkan kami satu Surah daripada Al-Quran. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila merancang salah seorang daripada kamu dalam sesuatu perkara, maka hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat..”.
(Riwayat Imam Bukhari)

Berdasarka Hadith daripada sahabat Jabir bin Abdullah diatas, maka mengertilah kita bahawa Solat Istikharah adalah umum. Namun, umumnya Solat Istikharah terkecuali daripada perkara-perkara yang wajib, sunat, haram dan makruh.

Imam ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari ada menyatakan tentang Solat Istikharah : “Telah berkatalah ibn Abi Jamrah : Ianya adalah umum dan dikehendaki dengannya khusus ; Maka sesungguhnya perkara yang hukumnya Wajib dan Sunat tidak perlu dilakukan Istikharah pada mengerjakan kedua-duanya, adapun bagi perkara-perkara yang Haram dan Makruh juga tidak perlu dilakukan Istikharah dalam meningalkan kedua-duanya, maka bahwasanya Solat Istikharah hanya tertentu kepada perkara yang Harus sahaja.

Al-Imam Syaukani juga ada menyebutkan dalam Nilul Autor : “Ianya membawa kepada dalil umumnya kepada semua perkara, bahawasanya seseorang itu tidak harus memandang hina sesuatu perkara kerana kecilnya perkara tersebut, lalu tidak mengambil berat dengannya lantas meninggalkan daripada melakukan Istikharah kepada Allah taala. Maka boleh jadi perkara tersebut ada tersembunyi sesuatu yang tidak diketahui maka menyebabkan tindakan memandang lekeh tadi mengundang kepada dharar (kemudaratan) yang besar samada kita melakukannya atau meningalkannya tanpa melakukan Istikharah kepada Allah taala. Ini kerana sebagaimana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : “Wajib salah seorang kamu memohon/meminta kepada Tuhannya walaupun berkenaan tali seliparnya” (Riwayat Imam Tarmizi)

WAKTU BERISTIKHARAH

Istikharah dilakukan untuk memohon Allah taala menunjukkan kita jalan samada ingin melakukan seuatu perekara atau meninggalkannya. Namun kebiasaan daripada masyarakat kita hanya melakukan Istikharah hanya ketika terdapat pertembungan antara dua perkara samada ingin memilih “A” ataupun “B”. Sedangkan walaupun tiada pertembungan, Istikharah masih perlu dilakukan sebagaimana gesaan Rasulullah kepada para sahabat sebagaimana hadith-hadith yang dinyataka sebelum ini walaupun perkara tersebut amatlah remeh.
Masa yang paling sesuai untuk melakukan Solat Istiikharah sebagaimana pendaat ulama’ adalah ketika waktu Sahur kerana ianya adalah waktu yang paling afdhal dari sudut diterimanya sesuatu amalan dan doa kita.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : “Allah taala akan turun tiap-tiap hari kelangit dunia ketika mana 1/3 malam terakhir (waktu sahur), lalu Allah taala menyeru kepada makhluk-makhluk Nya : Sesiapa yang memohon doa kepadaku maka akan aku perkenankan doanya, sesiapa yang mengharapkan sesuatu disisiku maka akan aku berikannya, dan sesiapa yang meminta ampun daripadaku maka akan aku ampunkannya”. (Riwayat Imam Muslim)

KAIFIAT MELAKUKAN SOLAT ISTIKHARAH

Tidak terdapat secara khusus daripada hadith-hadith yang lepas bacaan-bacaan yang khusus dalam Solat Istikharah kecuali doa. Oleh itu, selepas bacaan Surah Al-Fatihah kita dibolehkan membaca apa sahaja surah daripada Al-Quran. Namun disana terdapat ijtihad daripada para ulama’ dalam menjelaskan kaifiat dan bacaan sebagai garis panduan memudahkan kita orang awam melakukannya.

Imam Nawawi berpendapat bahawa, ayat yang paling munasabah untuk dibaca pada rakaat pertama selepas Surah al-Fatihah adalah Surah al-Kafirun, manakala pada rakaat yang kedua dibaca Surah al-Ikhlas.
Beliau berpendapat kerana kedua-dua Surah tersebut mencakupi tentang usul dalam agama. Surah al-Kafirun menyentuh tentang menjauhkan diri daripada kekufuran dan ahlinya serta memisahkan perkara yang hak dan batil. Adapun Surah al-Ikhlas menyentuh tentang pengiktirafan dan pengakuan supaya mentauhidkan Allah taala pada zat, sifat dan perbuatan Allah taala. Maka sesuailah dibacakan dalam Solat Istikharah dalam tujuan memohon petunjuk daripada Allah dan memilih keputusan antara baik dan buruk.

Adapun Imam al-Qartubi dalam kitabnya al-Jamie’ Li Ahkam al-Quran menyatakan, bacaan pada rakaat pertama adalah daripada Surah al-Qasas ayat 68, manakala pada rakaat kedua daripada Surah al-Ahzab ayat 36. Beliau berpendapat bahawa kedua-dua ayat tersebut menunjukkan kebergantungan seseorang hamba yang perlu diserahkan sepenuh jiwa dan raganya hanya kepada pemilik setiap urusan dunia dan akhirat iaitu Allah taala.

Imam ibn Hajar al-‘Asqalani telah menghimpun dan menggabungkan diantara pendapat daripada Imam Nawawi dan Imam al-Qartubi. Pada rakaat pertama dibaca Surah al-Kafirun beserta Surah al-Qasas ayat 68, manakala pada rakaat kedua pula dibaca Surah al-Ikhlas beserta Surah al-Ahzab ayat 36.

DOA SOLAT ISTIKHARAH

Sambungan daripada hadith daripada sahabat Rasulullah Jabir r.a:

ثـُـمَّ لـْـيَقـُـلْ

اللَّـهُــمَّ إِنـِّـي أَسْــتـَـخِـيْـرُكَ بِعِــلـْـمِـكَ، وَأَسْــتـَـقـْــدِرُكَ بـِقـُــدْرَتـِك وَأَسْــأَلـُـــكَ مِـنْ فـَــضْــلـِــكَ الـْـعـَـظِــيـْـمِ، فـَـإِنـَّــكَ تـَـقـْــدِرُ وَلا أَقـْـدِرُ, وَ تـَـعْـلـَـمُ وَلا أَعْـلـَــمُ، وَأَنـْـتَ عَـلاَّمُ الـْـغـُـيـُـوْبِ .. الـلـَّـهُـمَّ إِنْ كـُــنـْـتَ تـَـعْــلـَـمُ أَنَّ هـَذ َا الأَمْـرَ خـَيـْـرٌ لـِــي فِــي دِيـْــنِــي وَمَعـَـاشِــي وَعَــاقِـبَـةِ أَمْـرِي، – أوْ قـَـالَ عـَـاجـِـل ِ أ َمْر ِى وَآجـِـلِهِ.. فـَـاقـْـدُرْهُ لِـي وَيَسِّـرْهُ لِــي ثـُــمَّ بَـارِكْ لِـي فـِـيْه ..وَإِنْ كـُـنـْـتَ تـَـعْـلـَـمُ أَنَّ هَـذ َا الأَمْـرَ شَـرٌّ لِــي فِي دِيـْــنِـي وَمَـعَـاشِـي وَعَـاقـِـبَـةِ أَمْـرِي، – أوْ قـَـالَ فـِـى عـَـاجـِـل ِ أ َمْر ِى وَآجـِـلِهِ فـَاصْر ِفـْـهُ عَــنـِّي وَاصْـر ِفـْنِـي عَـنـْهُ وَاقـْدُرْ لِيَ الـْخَـيْرَ حَـيْثُ كَانَ ثـُـمَّ أَرْضِـنِي بـِـهِ

“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Tarmizi)

APAKAH YANG PELU DILAKUKAN SELEPAS DARIPADA ISTIKHARAH ?

Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkaar berkata : “Maka hendaklah dia memilih perkara yang dia merasa lapang dadanya pada perkara tersebut”.
Berkata Imam Izzuddin Abdul Salam : “Lakukanlah apa yang muafakat dengan dirinya (kecenderungan hatinya)”.

Imam ibn Hajar al-‘Asqalani ada menyebut : “Apa yang muktamad adalah janganlah seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang padanya didorong oleh hawa nafsu walaupun dia merasa lapang dadanya dengan melakukan perkara tersebut sebelum dia beristkharah”.

Benarlah pendapat yang dikemukakan oleh Imam ibn Hajar diatas kerana tiadalah faedah yang boleh diambil daripada Solat Istikharah andainya pilihan kita tidak dipandu oleh cahaya kebenaran dan masih melakukan maksiat kepada Allah taala.

Tidak menjadi syarat dan petunjuk kita mesti bermimpi setelah selesai beristikharah. Bahkan seboleh-bolehnya bagi kita sentiasalah berulang-ulang melakukan Solat Istikharah kepada Allah taala agar pilihan yang akan dilakukan dipandu dengan petunjuk-Nya dan hati serta naluri kita sentiasa merasa lapang apabila melakukan pilihan tersebut.

ADAB-ADAB BERISTIKHARAH

1. Hendaklah kepada setiap mereka yang melakukan Istikharah kepada Allah taala mengosongkan hatinya daripada mengikut hawa nafsu dalam pilihannya.

2. Mestilah menyerahkan sepenuh pilihannya kepada pilihan Allah taala, janganlah ada sedikit pun pergantungan kepada perkara-perkara lain melainkan hanya sebagai asbab musabbab dan wasilah sahaja dalam menyampaikan hajatnya.

3. Hendaklah sentiasa redha kepada Allah dengan setiap apa yang telah ditaqdirkan untuknya kerana setiap perkara itu pasti ada hikmah dan rahsia.

4. Sentiasa merasakan hasil daripada istikharah itu adalah bimbingan Allah taala kepada hambanya dalam memperbaiki diri dan mendapatkan kejayaan dunia dan akhirat.

5. Mestilah ketika beristikharah kepada Allah taala dengan hati yang penuh sedar, yaqin dan thiqah (percaya)bahawa Allah akan memaqbulkan setiap pilihan dan memberi kita yang terbaik dalam hidup.
Daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash, bahawa Rasulullah s.a.w. berkata : “Sesungguhnya pada hati-hati manusia ada kesedaran, setengahnya merupakan kesedaran bagi setengah yang lainnya, maka apabila kamu memohon sesuatu daripada Allah maka pohonlah kepada-Nya dengan yaqin bahawa Allah akan kabulkannya, maka sesungguhnya Allah tidak akan memaqbulkan bagi seorang hamba pada doanya dalam keadaan hatinya yang lalai (tidak sedar dan yaqin dengan pemberian Allah)”. (Riwayat Imam Ahmad)

KESIMPULAN

Allah taala adalah tempat berbincang dan tempat mengadu. Andainya kita sebagai muslim dan muslimat yang benar-benar beriman kepada-Nya maka Dialah Allah sebagai tempat kita menyerahkan segala urusan dan tindakan samada besar atau kecil, penting atau tidak sesuatu perkara tersebut. Kerana disitulah kita dapat melihat adakah disana terdapat pergantungan hati seorang hamba dengan Tuhannya ataupun tidak. Kerana hanya Allah taala sahaja yang terbaik untuk menentukan hala tuju kita dalam melakukan sesuatu perkara sedangkan kita tidak mengerti apakah hikmah dan rahsia terhadap setiap perkara yang kita kerjakan.

Firman Allah taala : “dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah : 216)

Wallahu ‘allamul ghuyub.

Rujukan :
1. Al-Quran al-Karim
2. Sahih Bukhari
3. Sahih Muslim
4. Sahih Tarmizi
5. Musnad Imam Ahmad
6. Fathul Bari : Imam ibn Hajar al-’Asqalani
7. Al-Azkaar : Imam Nawawi
8. Solat Istikharah Fadhluha wa Ahkamuha : Dr. Ahmad Muhammad al-Syarqawi

Alam Informasi

Bedah Arab Murah $2.95 .Com from GoDaddy!

Kerja Dirumah: Pekerja Part-Time Di Perlukan
Mempunyai Masalah Rambut Gugur?
Masalah GIGI KUNING?

Incoming search:

maksud istikharah,maksud Istikarah,kelebihan solat istikharah,maksud istiqarah,solat istikharah fadilat,sholat istikhoroh,rahsia solat istikharah,apa itu istikharah,maksud istighasah,kelebihan solat istikharah kepada seseorang yang mendirikannya,kelebihan istikharah,faedah melakukan solat istikhoroh,apa maksud istikharah,solat istrikaroh

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

Untuk Lelaki Download Disini Percuma !!!

Super Isteri - Untuk Wanita Sahaja

Previous post:

Next post: